Jumaat, 27 Januari 2012

Niat

27012012

Cepat betul masa berlalu, dah seminggu lagi berlalu. Rasanya baru jer semalam solat Jumaat, rupanya dah tiba lagi untuk solat Jumaat. Adakah aku terlalu sibok dengan tugas harian atau adakah masa berputar begitu cepat.......

Biarlah dengan masa kerana masa itu tidak menunggu sesiapa. Masa hanya datang sekali kerana ia tidak berulang lagi. Apakan tidaknya 26 hb Januari 2012 telah berlalu dan hanya datang sekali sahaja  kerana hari ini adalah 27 Januari 2012. Maka sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang sering ingat mengingati dan berpesan pesanan. Justeru Aku teringat dengan kuliah Magrib yang disampaikan oleh Ustaz Sallehudin di Surau Maktab pada hari Selasa yang lepas. Ustaz mengingatkan para hadirin supaya membetulkan niat, segala niat yang ada dibenak kita iaitu apa sahaja niat kita hendaklah bulat kepada Allah SWT. Allah segala-galanya. Semuanya kerana Allah, tiada pada yang lain. Bukan kerana mahlok, bukan kerana sipolan dan sipolan iteww.  Itulah dia kemanisan iman yang kita perolehi. Segala apa pekerjaan yang hendak kita lakukan di mulakan dengan bacaan basmallah dan diniatkan kerana Allah, Itulah ibadat kita untuk mendapatkan kemanisan iman sebagai seorang Islam.

Para hadirin diingatkan pahala yang kita dapati dalam Majlis Ilmu pada malam itu dihadiahkan kepada kedua orang tua kita kerana itulah dia  anak yang soleh selalu mendokan kedua orang tua kerana doa anak-anak sampai kepada orang tua mereka dan di bawa ke alam yang kekal.

Hadirin seteruskan diingatkan dengan hati yang sentiasa berbolak balik terhadap kepercayaan kepada Allah kerana syaitan terus mengadu domba manusia dengan rasa curiga yang membuatkan manusia berasa was was akan kewujudan Allah yang satu. Pelbagai fikiran dihati akibat godaan syaitan dan kalau diikutkan akan menjadikan manusia  tidak bersyukur dan hanyut mengikut gelora nafsu yang membara. Ikutkan hati mati, ikutkan nafsu lesu dan ikutkan rasa binasa. AKu kira perumpaman ini ada kebenarannya kepada manusia yang menggunakan otak dan akalnya untuk berfikir.

Memang berat menghindari syaitan yang telah berjanji kepada Allah untuk menyesatkan manusia justeru ia datang dari segala arah membisikan kejahatan kepada manusia sama ada dari arah depan, belakang, kiri atau kanan seperti firman Allah dalam surah Al-A'raaf ayat 16-17 yang bermaksud:

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

dan seterusnya Allah mengusir Iblis daripada syurga kerana sombong dan angkuhnya iblis itu.
.... Allah berfirman: "Keluarlah engkau (iblis) dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya; (QS: 7:18)


Setiap manusia itu mempunyai 7 panca indera yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah dan terhindar daripada adu domba syaitan dan juga boleh menjauhkan diri daripada Allah dan menjadi pengikut syaitan. Apakah 7 panca indera itu? Kita tunggu di siaran akan mendatang.

Jom ke masjid kita solat Jumaat hari ini

Selasa, 24 Januari 2012

Ombak Rindu

24012012

Cepat sungguh masa berlalu. Sudah lama aku tidak mengemas rumahku ini kerana masa yang terhad. Hampir 3 minggu terbiar begitu. Hari ini aku berkesempatan menjengok rumah yang usang ini, namun tiada apa yang dapat aku lakukan dilaman ini cuma hayatilah bait bait lirik lagu ombak rindu yang menjadi perhatian ramai orang. Semoga ia dapat menginsafi hati-hati kita dalam usaha menuju matlamat yang satu.

video

Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).
Al-Baqarah : QS:2:17-18 

Selasa, 10 Januari 2012

Kematian

09012012

Hari ini seorang staf masuk ke bilik az di pejabat. Sengaja az panggil dia bertanya kabar peritistiwa dia menghantar jenazah daripada Ayer Baloi ke Sabak Bernam pada Ahad 8 Jan 2012 (semalam lah kononnya). Bagaimana jenazah ini berada di Ayer Baloi? Cer citer.......

Jenazah ini adalah adik ipar kepada seorang pegawai di tempat az. Adik iparnya ini menetap di Seremban. Kebetulan datang ke Kota Tinggi berubat dengan seseorang di Felda Ayer Tawar 2. Adik iparnya itu telah lama menderita sakit dalam perut dan telah pun mendapatkan rawat doktor perubatan namun kesembuhan tidak juga menjelma. Namun Allah lebih menyayanginya kerana semasa berada di Kota Tinggi si pesakit telah meninggal dunia.

Suami adik iparnya itu menghubungi beliau (pegawai di tempat az iteww) bagaimana caranya untuk mendapatkan van jenazah untuk membawa jenazah balik ke Sabak Bernam, (Ayah mertua pegawai itu tinggal di Sabak Bernam) kerana ambulance hospital hanya dapat memberikan khidmatnya setelah laporan kematian di buat di Balai Polis Kota Tinggi dan post mortem telah dilakukan. Adoyaiiiiiii, kalau prosidur itu diikuti tentunya masa yang panjang diperlukan. Si mati meninggal dunia kira pukul 1 pagi 8 Jan 2012. Jenazah sampai di Ayer Baloi dalam pukul  5.00 pagi dan mereka bergerak daripada Ayer Baloi dalam pukul 7.00 pagi semalam (8 Jan 2012)

Pikir punya pikir mereka membawa balik jenazah ke Ayer Baloi kerana di Ayer Baloi ada van jenazah yang boleh digunakan tetapi perlu dipandu sendiri. Jadi itulah sebabnya mengapa staf az memandu van jenazah tersebut.

Staff ini menceritakan beliau sampai di Sabak Bernam kira-kira pukul 3.00 petang kerana van jenazah tidak boleh bergerak laju. AZ tengok ruang van dipenuhi dengan katil jenazah dan hanya ada satu bangku kayu untuk pengiring jenazah. Bayangkan anda mengiringi jenazah dan duduk atas bangku kayu itu lebih kurang 8 jam. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui namun apabila terkena mata hitam, semua ketidakselesaan itu tidak dihiraukan. Yang mengiringi jenazah itu ialah ibu dan ayah si mati yang berumur melebihi 60 tahun.

Yang ingin berkongsi kali ini ialah tanda-tanda hampirnya seseorang itu menemui ajalnya. Staf ini amat arif dalam perkara ini kerana pengelamannya dan az minta belia bercerita sedikit mengenainya. AZ ringkaskan sahaja dan sekiranya ada antara pembaca yang lebih arif mengenainya boleh membetulkannya andai kata az tersalah dengar kerana bab sakratulmaut ini sesuatu yang pasti:-

Tahap nazak seseorang itu berbeza-beza. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Staf ini memulakannya begini. Andakata kita menziarahi pesakit yang tenat, perlulah kita merasa kaki sipesakit itu. Beliau menerangkan nyawa itu dikeluarkan bermula daripada bahagian kaki. Sekiranya kita merasakan bahagian kaki itu sejuk seperti ais bermakna si pesakit sedang berada dalam keadaan nazak dan keluarga yang terdekat bolehlah dihubungi.

Andaikata hanya bahagian tapak kaki sahaja yang sejuk seperti ais sedangkan bahagian betis masih panas, si pesakit tadi masih bernyawa dan masa kematian masih lambat. Sekirannya bahagian betis sudah sejuk seperti ais, bahagian peha masih panas, saat kematian juga masih lambat. Tetapi apabila kesejukan sudah sampai ke bahagian badan, inilah saatnya kerana suhu sejuk tadi akan cepat ke bahagian dada dan kepala. Masa inilah kita perlu membimbing pesakit dengan ucapan dua kalimah syahadah.

Satu lagi yang diceritakan ialah apabila bahagian belakangnya telah rapat ke lantai/tilam/katil dimana kita tidak boleh memasukan tangan kita ke bahagian belakang si pesakit.

Apabila sipesakit telah menemui ajalnya segala lubang-lubang anggota badan mestilah disumbatkan dengan kapas seprti hidung, telingga dan yang lain-lain. Tujuannya adalah untuk mengelakkan serangga memasuki lubang anggota badan itu terutamannya semut. Katanya ada sejenis semut berwarna merah yang dipanggil semut mayat amat suka kepada mayat. Dagu diikat ke kepala untuk mengelakan mulut simati terbuka.


gambar hiasan

AZ minta maaf kalau apa yang dicatatkan ini tidak berapa tepat dan andaikata ada pembaca yang arif dan mahir tentang perkara ini bolehlah menunjuk ajar kerana ilmu ini amat berguna sekali.

Ahad, 8 Januari 2012

Ujian

08012012

Hari ini seperti biasa selepas Solat Maghrib, Ustaz Salleh meneruskan Kuliah Magrib seperti biasa. Aku tidak tahu mengapa malam ini aku tidak boleh fokus kepada kelas ust Salleh. Puas aku memberikan perhatian tetapi seperti masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan.

Aku hanya tersentak apabila ustaz menerangkan tentang tahap-tahap ujian daripada Allah swt kepada hambaNya. Ustaz mengatakan bahawa manusia sekiranya tidak diuji oleh Allah swt maka tahap kebergantungannya kepada Allah akan hilang kerana keselesaan dan sebagainya. Ini berlaku kepada Firaun, Qarun dan yang lain-lain lagi.

Ustaz mengumpamakan Jawatan tertinggi di bidang kerajaan. Katalah jawatan JUSA C. Jawatan ini sememangnya telah siap sedia di wujudkan oleh kerajaan. Untuk mendapatkannya calon-calon jawata JUSA C ini telah menempuh pelbagai ujian yang bermula daripada UPSR, PMR, SPM, STPM, Universiti, temuduga dan akhirnya mereka berjaya mendapatkan jawatan JUSA C tersebut.

Masakan mungkin kita mendapat gaji RM3K kalau kita hanya berkelulusan PMR sahaja. Oleh itu janganlah menuduk Allah tidak sayang kepada kita sekiranya kita ditimpa bala bencana kerana ianya merupakan ujian daripada Allah kepada hambaNya.

Seperti seorang petani sawit yang berkira-kira pada  bulan itu mendapat 2 tan hasil tuaian namun akhirnya sawitnya telah dicuri orang. Maka apakah pilihan pesawit itu? Pesawit itu mempuntai dua pilihan sama ada memilih jalan Syaitan atau memilih jalan yang dianjurkan oleh Rasullullah SAW.

Sekiranya ia memilih jalan syaitan maka akhirnya tali silaturahim akan putus kerana dendam kesumat yang membara. Hati tidak menjadi tenang akibat murung kerana kehilangan 2 tan sawit.

Andaikata pesawit itu memilih jalan Rasul SAW, ia berdoa kepada Allah, reda akan ketentuannya. Anggaplah itu   sedeqah kepada pencuri itu kerana memerlukan duit untuk menyara keluarganya yang serba kekurangan. Allah akan membalas dengan memberikan ketenangan kepada jiwa dan itulah sebenarnya kebahagian yang hakiki................

Untuk mendapatkan iman yang kental, setiap hambaNya akan di uji. Mereka yang melepasi ujian tersebut akan mendapat rahmat Allah. Oleh itu bersabarlah apabila menerima ujian daripada Allah SWT.

Sabtu, 7 Januari 2012

Cekodok Jering

07012012

Hari ini tanpa disangka, kami dapat merasai cekdok jering yang dibuat oleh puteri kami di rumah ibu mertuanya di Kelang, Selangor. Dia mendapat jering tua daripada kawannya justeru dengan kedatangan kami tengah hari tadi beliau mengadun jering itu untuk dijadikan cekodok. Itulah kali pertama beliau melakukukannya dan hasilnya, perfeck 10. Seperti cekodok buatan ibunya juga. Tahniah anak ku.

Kebetulan pula ada seorang ibu muda ditempat kerja isteriku mengidam untuk merasai cekodok jering. Puas juga kami mencari jering di Pontian namun dukacita. Untuk membuat cekodok jering, jering tua yang diperlukan. Selalunya jering tua hanya terdapat di Pasar Chow Kit sahaja. Bak kata arwah mertuaku, di Pasar Chow Kit semuanya ada. Macam macam ada. Justeru isteriku mengubungi anak bujang kami mencari jering tua di Pasar Chow Kit dan berhasil.

Dikesempatan ini aku ingin menitipkan resepi cekodok jering seperti yang di minta oleh Kak As di Alor Star, Kedah dan Cikgu Taib di Betung Sarawak. Nanti cobak buat noooo.

Bahan-bahannya

10 biji Jering Tua di tumbuk hampir lumat
5 sudu besar Tepung Beras
10  tangkai pucuk ubi kayu yang dipotong-potong pendek
 garam secukup rasa
1 sudu besar cili kering (sudah dikisar)
1 sudu besar ikan bilis yang telah ditumbuk


Kaedahnya

Masukan kesemua bahan-bahan tadi ke dalam bekas adunan. Masukan air sedikit sedikit sehingga adunan itu boleh di bentuk menjadi kepolan-kepolan kecil.

Panaskan api dalam kuali dan seterusnya goreng kepolan jering tadi dan goreng sehingga garing menjadi chrispy dan sedia untuk dihidangkan.


cekodok jering sedang digoreng


Cekodok Jering, Siap!!!!

Selamat mencoba.

Rabu, 4 Januari 2012

HRMIS

04012012

Alhamdulillah, hari ini aku dan wife dapat melakukan excercise berjalan kaki selama satu jam bermula jam 5.30 petang hingga 6.30 petang. Hari ini kami mengikut jalan yang berlainan. Kalau hari Senin lepas kami membelok ke sebelah kanan ke Kg. Parit Keroma, petang tadi kami membelok ke kiri ke Kg. Parit Jelotong. Terasa kesegaran apabila dapat melakukan excercise sebegini. Walaupun kami berjalan biasa, berbual bual sambil menikmati keindahan kampung yang menghijau dan begitu menyegarkan, badan berpeluh juga.

Malam tadi juga aku dapat menyelesaikan laporan prestasi. Rengan rasa kepala apabila ianya telah dihantar ke pihak penilai pertama. Apa yang disasarkan telah dapat dilaksanakan dengan jayanya, maka terpulanglah kepada penilai pertama untuk menentukannya. Tahun 2011 adalah tahun kedua di mana penilaian prestasi dijalankan sepenuhnya secara online. Sebenarnya ianya lebih mudah berbanding dilakukan secara manual namun kerana masalah teknikal maka proses menyempurnakannya begitu rumit sekali ditambah dengan line internet yang begitu slow pada waktu siang hari. Namun segalanya telah selesai. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang memberi nikmat.

Selasa, 3 Januari 2012

Hepi Besday My Dear

03012012

Hari ini seorang lagi blogger menyambut hari kelahirannya. Selamat Hari Lahir. Semoga hari-hari mendatang penuh dengan keberkatan dan perlindungan Allah SWT. Semoga bintangmu terus bersinar mewarnai alam maya.

Inilah blog sipemilik hari lahir pada 3 Januari. Blog yang meriah yang mempunyai ribuan pengikut. Selamat Hari Lahir yang ke xx. Semoga panjang umur, murah rezki dan terus berada dalam perlindungan Allah azawajalla. Amin.

Isnin, 2 Januari 2012

Selamat Hari Lahir

02012012

Hari ini merupakan hari lahir kepada sahabat-sahabat ku sama ada di blog atau di FByang bernama:
Pijal
Papaku Pulang
  Dzulkefflee Hairuddin dan tak lupa kepada
Abngzack -suami kepada kak sidah

Selamat menyambut tarikh Hari Lahir
semoga kehidupan kalian aman bahagia
dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat


Ahad, 1 Januari 2012

Perwatakan Rasul Junjungan SAW

01012012

Hari pertama Tahun 2012 disambut dengan keazaman baru oleh semua umat manusia. Pelbagai azam dinyatakan dan perlu diusahakan untuk mencapainya. Oleh itu perlukan tindakan untuk mencapainya, kalau tidak azam hanya tinggal azam.

Kita menyatakan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW. Kita berselawat sebagai tanda kecintaan itu. Adakah kita kenal dengan baginda? Kadangkala di rumah-rumah hanya ada bingkai yang tertulis nama baginda sahaja yang berdampingan bersebelahan dengan nama Allah SWT. Selain daripada itu kita tidak mengetahuinya. Sesungguh tiada gambar yang boleh menyerupai dengan rupa nabi dan rasul. Justeru bagaimana kita hendak mengenalinya?

Aku rasa bertuah kerana dapat menghadirkan diri di Majlis Ilmu Surau Anak Bugis, Pt Keroma, Ayer Baloi.  Seperti biasa  Majlis Ilmu ini disampaikan oleh Ustaz Salehuddin dan kali ini beliau  menceritakan ciri-ciri Nabi Muhammad SAW melalui buku yang ditulis oleh Imam al-Tirmidzi.

Seperti biasa sebelum kuliah bermula ustaz akan menyampaikan kata-kata motivasi menghadiri majlis ilmu. APabila menghadiri Majlis Ilmu ia akan dapat meningkatkan keimanan kita kerana ilmu akan bertambah . Tampa ada adanya ilmu  akan berkurangan iman kerana tiadanya ilmu.

Ustaz juga menceritakan secara ringkas siapa Imam al-Tirmidzi. Namun aku mohon maaf andai ada tersalah fakta, maklumlah kejahilan aku dalam bab bab agama ini. Namun aku ingin berkongsi kerana 'sampaikanlah ilmu itu walaupun dengan sepatah ayat'. Andai kata ada kesalahan, aku mohon maaf dan silalah diperbetulkan.

Imam Tirmidzi lahir lahir di sebuah tempat bernama Hudud pada tahun 214H. Terdapat perselisihan pendapat yang mengatakan Imam Tirmizi buta sejak lahir namun beliau buta setelah lanjut usia setelah menuntut ilmu dan menghasilkan beberapa buah karya yang menjadi rujukan dan panduan alim ulama. Beliau menuntut ilmu dengan berjalan sehingga ke Khurasan, Iraq, Makkah dan Madinah. Di antara guru beliau ialah Imam Bukhari dan Imam Muslim. Beliau meninggal dunia pada 13 Rejab 274 H di sebuah kampung bernama  Tirmidz. Mungkin inilah sebabnya mungkin beliau dikenali dengan Tirmidzi.

Didalam karangan beliau mengenai keperibadian Nabi Muhammad SAW, Imam al-Tirmidzi  memetik hadis-hadis daripada Anas bin Malik, Al Bara' Ibn Azib, Ali Ibn Abu Talib dan Hasan Ibn Ali. Rata-rata hadis itu menceritakan fakta yang hampir sama namun Hasan Ibn Ali lebih menceritakan ciri-ciri fizikal Nabi Muhammad yang agak lengkap namun aku gagal untuk menghabiskannya di sini.

Antara ciri ciri Fizikal Nabi Muhammad seperti yang dinyatakan oleh Hasan Ibn Ali  ialah rupa paras yang menarik terutama ketika baginda memakai baju berwarna merah.  Wajah Rasulullah lebih indah daripada  bulan purnama dengan postur tubuhnya lebih tinggi daripada ukuran tubuh yang biasa dan lebih pendek berbanding dengan tubuh manusia yang jangkung  dan kerempeng (bahasa Indonesia). Kepala baginda besar dengan rambut yang ikal. Apabila rambut baginda panjang, baginda akan menyisirnya namun tidak akan dibiarkan panjang  sampai ke bawah daun telinga baginda. Kulit baginda cerah, putih kemerah-merahan, dahi yang lebar dengan alis mata yang melengkung dan panjang. Baginda mempunyai alis mata yang hampir bertemu dan di antara dua alis mata itu terdapat urat yang akan menjadi merah apabila baginda marah. Baginda mempunyai hidung yang mancung dan bercahaya di bahagian atasnya sehinggakan sekiranya tidak dilihat dengan telilti hidung baginda seakan bengkok. Baginda mempunyai janggut yang lebat dengan kedua-dua pipi yang datar. Mulut baginda lebar dan mempunyai gigi yang berjarak.........

Sampai di sini yang dapat aku catatkan kerana kelemahan aku dan akhirnya ustaz mengingatkan jemaah agar menghadiahkan  pahala majlis yang diperolehi di Majlis Ilmu ini   kepada kedua orang tua kita yang disayangi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...