130712
Aku hanya ingin berkongsi dengan kalian mengenai Surah AlKahfi yang aku terima melalui emelku. Aku telah membaca dan begitu teruja berkongsi dengan anda sekalian. Semoga ia memberi manfaat, pengajaran kepada kita semua
*******************
Sebagai motivasi untuk lebih bersemangat dan menghayati bacaan
kita dalam surah Al-Kahfi sempena datang nya kembali penghulu segala hari,
Jumaat yang mulia, dikongsikan motivasi dari surah tersebut muga ada
munafaatnya.
Mungkin ada yang pernah membaca, dan mungkin ini bukan kali
pertama. Namun, tetap saya ingin berkongsi motivasi hasil tulisan Hilal Asyraf
dari Buku Motivasi Langit Ilahi:
Surah Al-Kahfi. Surah yang
di dalamnya terdapat beberapa cerita akan ummat sebelum kita. Di dalanya
terdapat kisah Ashabul Kahfi, yakni pemuda-pemuda yang tertidur di dalam gua
selama 300 tahun lebih kerana hendak menyelamatkan keimanan mereka. Wujud juga kisah
Dzulqarnain. Dan terdapat pula kisah pengembaraan Musa bersama hamba Allah SWT
bernama Khidr AS.
Artikel ini akan
memfokuskan kepada perjalanan Nabi Musa AS dan Khidr AS. Mengekstrak hikmah dan
motivasi daripada perjalanan mereka. Melihat mengapa Allah SWT menceritakan
kisah mereka kepada kita. Mengapa Allah SWT menyusunkan kisahnya sedemikian
rupa.
Moga-moga ianya menjadi
motivasi buat kita.
Sepintas kisah Musa dan Khidr.
Perjalanan Nabi Musa AS dan
Khidr AS mempunyai tiga perhentian, tiga titik yang amat penting. Tiga tindakan
Khidr, yang membuatkan perjalanan mereka terganggu dengan pertanyaan-pertanyaan
Musa AS. Berikut adalah tindakan-tindakannya.
1 – Khidr membocorkan
perahu milik seorang miskin, yang digunakan oleh mereka berdua untuk merentas
sungai.
“Lalu berjalanlah
keduanya(Khidr dan Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu,
kemudian dia(Khidr) membocorkannya.” Surah Al-Kahfi ayat
71.
2 – Khidr membunuh seorang
anak kecil.
“Kemudian keduanya berjalan
lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia
membunuhnya.” Surah Al-Kahfi 74.
3 – Khidr menegakkan sebuah
dinding yang hampir roboh.
“kemudian keduanya mendapatkan
dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka dia(Khidr) menegakkan
dinding itu.” Surah Al-Kahfi ayat 77.
Dalam setiap peristiwa ini,
Musa AS telah mengemukakan pertanyaan, walaupun telah berjanji untuk tidak
melakukan perkara tersebut.
Akhirnya, selepas kali
ketiga Musa AS bertanya, Khidr AS pun berhenti, dan menceritakan hikmah-hikmah
mengapa Khidr melakukan semua itu. Dan semua itu terdapat di dalam Al-Quran
pada ayat 79-82 Surah Al-Kahfi. Dibocorkan perahu, kerana hendak menyelamatkan
perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu-perahu yang baik.
Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan kedua ibu
bapanya.
Dibina semula dinding,
kerana di situ terdapat harta untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu.
Dibina semula untuk melindungi harta mereka, agar nanti kala mereka dewasa,
mereka akan mendapatkannya.
Semua ini bukanlah fokus
utama artikel saya.
Apa Tujuan Utama Allah SWT
Menceritakan Ini?
Saya ketika masih belajar
di University of Yarmouk, guru Aqidah saya, Dr Ala’ Hilat yang mengajar akan
kisah ini, bertanya kepada kelas:
“Apakah tujuan utama Allah
SWT apabila Dia menceritakan kita kisah ini?”
Seorang pelajar menjawab –
“Kebijaksanaan Khidr?”
Dr Ala’ menggeleng. “Tetapi
bagus kamu utarakan jawapan itu.”
Seorang pelajar menjawab –
“Bagaimana Allah memberikan pengajaran kepada Musa?”
Dr Ala’ menggeleng. “Musa
telah mati.”
Kelas diam ketika itu dan
saya juga diam kerana tidak pasti hendak menjawab apa.
“Apakah benar Khidr itu
bijaksana? Atau sebenarnya dia tidak mempunyai ilmu langsung?”
Dr Ala’ menimbulkan
persoalan. Memecahkan kesunyian. Saya macam agak terkejut dengan apa yang
dinyatakan Dr Ala’ itu, dan begitu juga seluruh isi kelas. Dr Ala’ nak kata
Khidr bukan bijaksana? Tak berilmu? Macam agak mustahil bukan?
Tetapi saya lihat senyuman
Dr Ala’ ketika itu, menjadikan Saya yakin bahawa dia percaya kata-katanya
benar.
“Tahukah apa yang pertama
sekali Allah sebut apabila memperkenalkan Khidr ini?”
Kami diam tidak menjawab.
Dr Ala’ pun membacakan satu potong ayat. Ayat pertama ketika Allah
memperkenalkan Khidr kepada pembaca Al-Quran.
“Lalu mereka bertemu dengan
seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat
daripada Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.” Surah
Al-Kahfi ayat 65.
“Khidr sebenarnya, bukan
bijaksana. Sebab ilmu Khidr bukanlah ilmu yang dicarinya sendiri. Bukan
berdasarkan pengalaman. Bukan berdasarkan pemikiran. Khidr tidak berfikir. Dia
hanya ‘bergerak’ berdasarkan apa yang telah ‘ditetap’kan.
Sebab ilmu Khidr hakikatnya
adalah ilmu Allah SWT secara langsung. Sebab itu Allah menyebut – dan Kami
telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.
Ilmu itu adalah yang kita
kenali sebagai Ilmu Ladunni. Ilmu yang datang terus daripada Allah SWT. Atau
pendek kata, Ilmu Allah itu sendiri. Yang tak terjangkau dek manusia.”
Ketika ini mata aku
terbuka. Itu point pertama, dari tiga point yang belum disebut.
“Maka, segala keputusan
Khidr di dalam peristiwa ini, bukanlah keputusan dia. Bukan terhasil dari
pemikirannya. Bahkan sebenarnya, itu bukan keputusan seorang Khidr pun. Tetapi
hakikatnya adalah keputusan Allah SWT. Lihat sendiri apa kata Khidr di akhir
perjalanannya dengan Musa.”
Dan Dr Ala’ membaca: “dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.” Surah
Al-Kahfi ayat 82.
“Apa yang Khidr lakukan
itu, hakikatnya bukan tindakan dia. Khidr hanyalah ibarat robot yang
diprogramkan Allah SWT untuk melakukan itu dan ini. Sebab itu, apakah kamu
pernah mendengar riwayat sohih akan kewujudan manusia seperti Khidr ini di
zaman-zaman lain? Dia hanya wujud untuk Musa dalam perjalanan ini, dan tidak
diketahui wujud baik sebelum itu mahupun selepas itu.
Saya macam agak tersentak.
Itu point kedua dari tiga. Rasa teruja juga dengan penyampaian ini. Ilmu baru
masa itu. Memang seronok.
“Dan dengan kisah Khidr
ini, Allah hendak mendidik kita untuk bersabar dengan keputusan-keputusanNya.
Sebab itu, isu perjalanan Khidr dengan Musa, hakikatnya adalah isu BERSABAR
DENGAN KEPUTUSAN ALLAH SWT. Tidakkah kamu melihat, apakah perjanjian utama
mereka di dalam perjalanan ini?”
“Musa berkata kepada lelaki
itu(Khidr): Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang
benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Dia menjawab:
Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana
kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup
tentang hal itu? Musa berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai
seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun.
Dia(Khidr) berkata: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan
kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.” Ayat
66-70 Surah Al-Kahfi.
Dan lengkaplah tiga point
yang ditinggalkan di awal cerita tadi.
Itulah dia rupanya
pengajarannya!
Keputusan Allah, dan bersangka
baik kepadaNya.
Dr Ala’ memberitahu bahawa,
kisah Khidr dan Musa adalah untuk menunjukkan bagaimana Allah SWT dalam membuat
keputusan.
“Apa-apa musibah yang
melanda itu, hakikatnya baik untuk kita.” Itu point yang paling penting yang
diberikan Dr Ala’ kepada kami ketika itu.
Kisah Khidr adalah
buktinya. Apabila semua yang dilakukan itu, hakikatnya mempunyai sebab. Tuan
punya perahu, perahunya tidak lagi dirampas kerana bocor. Dan bocor itu boleh
dibaiki dan dia masih boleh berniaga dengan perahunya lagi. Ibu bapa yang
kehilangan anak, keimanan mereka terselamat, dan mereka takkan dicampak ke
neraka Allah nanti. Dua anak yatim yang dibantu, memang akan terjaga hartanya
sampai mereka dewasa nanti.
Ada perkara itu, Allah
berikan yang pahit dahulu. Perahu bocor, anak mati. Ada perkara, Allah berikan
terus-terus nampak baik. Bina dinding yang hampir roboh. Tetapi kesimpulannya,
semua itu akan menghala kepada kebaikan.
“Pokoknya, kita perlu
bersabar, dan bersangka baik dengan keputusan Allah SWT. Tidakkah kita belajar
bahawa, manusia yang tidak mampu bersabar, adalah manusia yang rugi?”
Kami tersentak sekali lagi.
Eh? Kita belajar daripada mana?
“Lihatlah Musa, bagaimana
dengan ketidak sabarannya, dia terpaksa berhenti dari mengikuti Khidr,
sedangkan kalau dia bersabar, mungkin lebih banyak lagi hikmah yang akan
dibukakan kepadanya.” Dr Ala’ tersenyum. Kami akhirnya memahami.
“Orang-orang yang bersabar,
dan sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, mereka takkan terganggu dengan
musibah-musibah yang melanda mereka. Kerana mereka tahu, Allah SWT hanya
mahukan yang baik-baik sahaja.”
Penutup: “Aku ceritakan ini,
agar kamu membuka fikiranmu.”
Dr Ala’ kemudian berkata:
“Ilmu Allah itu, memang
takkan terjangka oleh kita. Apa kata kita letakkan sepenuhnya kepercayaan kita,
kepada Allah SWT Yang Maha Mengetahui Segala-galanya itu?”
Itulah pointnya dinyatakan
jenis ilmu Khidr. Ilmu Ladunni. Bukan Ilmu manusia. Tetapi Ilmu Ilahi. Tak sama
ilmu manusia, dengan ilmu Ilahi.
“Musa telah tiada. Tetapi
kisah itu kekal hingga ke hari ini. Sebab pengajaran di dalam kisah itu,
hakikatnya untuk kita. Maka perhatikanlah. Aku ceritakan ini, agar kamu membuka
fikiranmu. Kalau kita melihat ini sekadar tarikhi(sejarah), kamu takkan sampai
kepada apa yang aku sampaikan kepada kamu hari ini.”
Begitulah juga sebabnya
mengapa saya kongsikan penyampaian ini kepada kita semua.
Saya mahu kita memahami
bahawa Allah SWT itu aturanNya, semuanya adalah baik.
Maka janganlah kecewa, dan
jangan berputus asa.
Bersabar itu tiada rugi.
Dan dalam bersabar itu, teruskanlah usaha lagi.
Kita tidak tahu apa yang
Allah susun pada kita.
Tetapi kita mesti tahu,
bahawa Allah SWT hanya susunkan yang baik-baik sahaja buat kita!
Bersangka baiklah kepada
Allah SWT, dan bersabarlah!
Di dalam Al-Kahfi, Tuhan
kita mendidik!
Sekian,
Wassalam
Nor Hayati Mhd Yussoff
Shah Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan